Saudara mengambil kata-kata saya terlalu serius :)
Apabila saya menulis tentang teori senyum sebelum ini, saya tidak pernah bermaksud untuk menilai keanjalan teori-teori tersebut. Atau menyatakan dengan jelas bahawa teori tersebut menjadi asas kepada perlakuan saya.
Teori, secara ilmiahnya, memang menjadi asas kepada penjelasan hal-hal yang dikatakan bersangkutan dengannya. Senang cerita, apabila seseorang menceritakan tentang teori psiko-analisis Encik Freud, maka dia secara jelas mengatakan bahawa idea dan pemahaman Freud lah yang menjadi ikutan dia.
Entah sedih, entah kelakar, saya tidak bermaksud sebegitu ilmiah apabila menulis tentang teori-teori senyum. Ia lebih bersifat menyelit.
Lebih seperti nasi tambah. Apabila saudara ke kenduri kahwin, saudara tentu tidak datang untuk makan nasi tambah. Cuma apabila saudara makan dan makan, dirasakan masih belum cukup lagi, nasi tambah adalah pelengkap hidangan paling nikmat. Tidak bermaksud sebagai hidangan utama, tetapi kehadirannya dirasakan dapat memuaskan nafsu :)
Itu sahaja, Lenny ;)
Tuan Rastom benar apabila mengatakan bahawa teori-teori yang saya kemukakan itu tidak menyeluruh. Paling kurang ia tidak dapat menjelaskan dua situasi (memetik kata-kata Tuan Rastom):
1. manusia yang wajahnya memang wajah tersenyum (walaupun dia bersedih)
2. wajah yang memang natural tidak pernah senyum walaupun dia gembira?
Sewaktu pertama kali saya belajar tentang emosi dan Lange, saya pun tidaklah se-terbuka seperti sekarang. Lange, apatah lagi Freud, banyak kalinya lebih kontroversi daripada ilmiah. Begitu mengejutkan, begitu luarbiasa, kadangkala daya tariknya bukan lagi betapa benarnya mereka, tetapi betapa luar biasanya jawapan-jawapan mereka.
Pun begitu, saudara tahu, teori tetap teori. Ia tidak berniat menjelaskan semua benda. Ia, bagi saya, lebih menjadi pemula bagi penjelasan lanjut.
Saya tidak bersetuju dengan Tuan Rastom apabila beliau menolak dua teori ini. Dua teori ini tidak benar dalam semua keadaan, tapi ia masih benar dalam sesetengah keadaan.
Katakan sahaja begini:
Seseorang bertanya:
Kenapa kereta itu berlanggar?Jawapannya?
1. Kerana breknya rosak. 2. Kerana pemandunya mabuk. 3. Kerana jalan itu licin. Dan seterusnya.Jawapan manakah yang betul? Lihat pada situasi sebenar. Semuanya mungkin, tapi melalui bukti kita tahu bahawa ada satu jawapan yang paling betul. Mungkin juga dua atau tiga jawapan.
Jawapan Lange pada soalan,
"Mana dulu, wajah senyum atau hati gembira?" juga pada saya mengambil logik yang sama. Lange cuba menjawab mengikut satu keadaan.
Lange tidak dapat berterusan benar dalam semua situasi. Banyak kali kita tersenyum, tapi hati masih sakit. Tapi banyak kali juga Lange benar. Banyak kali juga apabila kita tersenyum, kita rasa lebih gembira.
Saudara tidak percaya, tidak mengapa. Saya rasa Lange macam panadol. Sesiapa yang percaya pada panadol, dia akan makan panadol. Ada waktu dia tidak kebah pun demamnya, tapi nanti bila-bila dia demam lagi, dia akan makan juga panadol.
Saya percaya pada Lange (sekadar menyebut nama dia). Sebab itu saya senyum :) Sakit hati pun saya senyum :) Doanya saya betul-betul gembira :) (Tiada simbol 'gembira', yang ada cuma 'senyum') ;)